Pengenalan Empayar Phnom

Pengenalan


Kerajaan ini terkenal juga disebut dalam buku teks sejarah kerajaan purba di dalam sukatan matapelajaran di negara Malaysia. Kurang diingati di tingkatan berapa pelajar mempelajari mengenai kerajaan Hindu purba di Asia Tenggara ini tapi penduduk di negara tersebut sangat peka dengan sejarah kerajaan-kerajan purba di sekeliling, termasuk juga kerajaan-kerajaan Hindu.

Gambar hiasan masukan ini telah diambil dari laman Paul Muñoz yang dirakamkan di Muzium Negara Malaysia. Di situ, disebut bahawa kerajaan ini adalah sejenis kerajaan yang berkaitan dengan orang Melayu. Kita kurang mengerti mengenai takrifan Melayu ini. Sama ada untuk merujuk sejenis bangsa, etnik atau jenis-jenis manusia mengikut sistem antropologi sebab ia dimasukkan sebagai jenis kebumiputeraan di Muzium Negara Malaysia. 

Muzium Negara hanya menyebut bahawa kerajaan ini yang disebut berkaitan dengan orang Melayu di Tanah Melayu. Kerajaan seperti Chenla tidak pula disebut berkaitan dengan orang Melayu walaupun merupakan salah satu wangsa yang berada dalam jajahan empayar tersebut. Berkaitan bukan membawa maksud sama. Tapi mempunyai pertalian sahaja. Tersebut, bahawa Brahmana yang memulakan kerajaan ini memang masuk dari Segenting Kra, iaitu kawasan yang dihuni puak Melayu.

Kalau tuan-tuan sebutkan hal dakwa mendakwa tersebut kepada golongan Nasionalis Khmer di Kemboja terutamanya penyokong tuan Hun Sen, pastilah mereka akan menakek-nakek kepala anda.

Kedudukan

Kerajaan Funan ini merupakan nama bahasa Cina yang merujuk kepada sebuah kerajaan Hindu di dataran Indochina yang terletak sekitar delta Mekong di selatan Vietnam dan selatan Indochina. 

Nama kerajaan ini dicatitkan dalam rekod Cina yang menerangkan mengenainya secara panjang lebar. Disebut oleh rekod China bahawa dua raja duta empayar China dari dinasti Wu di Nanjing dihantar ke kerajaan Hindu ini pada pertengahan abad ke-3 M. Namun, nama Funan ini tiada dalam catatan yang dicatit oleh penduduk aslinya. 

Tidak diketahui pula jika nama yang berbunyi bahasa Cina ini yang dipakai bagi negara mereka ketika itu.

Spekulasi Nama Rujukan Kerajaan

Setengah sarjana membuat spekulasi sahaja tentang nama Funan ini. Dikatakan bahawa nama Funan ini adalah transkripsi bagi bunyi bahasa tempatan ke bahasa Cina kerana bahasa Cina menyebut bunyian secara tidak lengkap. 

Misalnya, sarjana Perancis George Coedes memajukan teori bahawa Funan itu mungkin nama bahasa Cina purba untuk mentranskripsikan bunyi Bnam atau Wnam. Dalam bahasa Kemboja moden, perkataan Phnom itu ertinya Pergunungan. Namun, diperhatikan juga bahawa ideogram bahasa Cina untuk suku kata hujungnya iaitu "Nam" itu bererti "Selatan". 

Sarjana Cina menggunakan sebab ini bagi merujuk kedudukan muka bumi kerajaan ini di rantau Asia Tenggara. Jadi ada kemungkinan nama kerajaan ini mempunyai erti atau pun bukan jenis transkripsi tapi langsung bunyi bahasa tempatan yang dicinakan. 

Pengkaji batu bersurat Claude Jacques, memajukan pula kenyataan bahawa nama Funan itu ditinggalkan bagi nama lain seperti:
  • Bhavapura
  • Aninditapura
  • Srestapura
  • Vyadhapura 
Beliau membaca prasasti-prasasti di negara-negara kota sekeliling jajahan ini.

Kajian Etno-Linguistik

Kajian etno-linguistik mengenai sifat penduduk di situ menjadi tajuk perbincangan para pakar sejarah jua. Antaranya, terdapat "hipotesis" bahawa:
  • penduduk kerajaan ini kebanyakannya dari suku bangsa Mon-Khmer.
  • mungkin juga kebanyakan penduduknya adalah suku bangsa Austronesia seperti di sebelah selatan jauh.
  • mungkin juga negara ini mempunyai penduduk pelbagai bangsa. 
Bukti-bukti masih belum kukuh lagi merujuk isu ini. Berat pendapat kita, bahawasanya kerajaan ini adalah kerajaan pelbagai bangsa kerana ia pernah menjadi sebuah empayar.

Cara Pemerintahan

Berdasarkan pengakuan sejarawan Cina, sistem pemerintahan Funan ini dipercayai diasaskan sejak abad pertama masehi lagi di Delta Mekong. Namun kajian carigali sejarah menunjukkan bahawa wujud penempatan manusia di rantau itu sejak abad ke-4 SM lagi. 

Walaupun para sejarawan Cina menganggap kerajaan Hindu ini sebagai satu pemerintahan yang bersatu atau bermaharaja, namun kebanyakan sarjana moden lebih berat ke pendapat bahawa ia merupakan sebuah negara dengan negara-kota yang kadang-kala berperang sesama sendiri dan kadang-kala bersatu.

Pelabuhan Antarabangsa

Dari kesaksian carigali sejarah, termasuk dari barangan terpendam orang Cina, orang Hindu sendiri dan orang Romawi di pusat perdagangan purba di Oc Eo atau Terusan Kaca di selatan Vietnam, diketahuilah bahawa Funan dahulu pernah menjadi pusat perdagangan penting. 

Penggalian sejarah di Angkor Borei di selatan Kemboja memberi maklumat penting tentang penempatan manusia. Pelabuhan Oc Eo pernah dihubungkan dengan pantai dan ke Angkor Borei oleh sistem terusan. Mungkin juga semua tempat ini membentuk ibu kota kerajaan Hindu purba ini.