Sarjana moden pertama yang mencetuskan semula itihasa berkenaan dengan cakra pemerintahan purba ini adalah Paul Pelliot. Beliau menulis dalam rencana pemecah asasnya, "Le Founan" pada 1903 dengan menggunakan rekod dari China bagi menyusun semula kejadian-kejadian terdokumentasi selain menghubungkaitkan asas kerajaan purba ini dari abad pertama masihi sehingga abad ke-6 dan ke-7 M. Pengkritik kesarjanaan walau bagaimanapun menunjukkan rasa kurang percaya dengan sumber-sumber Cina yang digunakan oleh Pelliot bagi mendapatkan rumusan rencananya itu.
Rekod-rekod Cina dari abad ke-3 M, bermula dengan Catitan Tiga Kerajaan yang disusun oleh Chen Sou pada 233-197 M. Disebut dalam rekod itu bahawa dua rakyat kerajaan Funan menjadi raja duta negara mereka telah tiba di Istana Lu Dai, yang merupakan istana kediaman gabenor di kerajaan empayar China sebelah selatan, iaitu dinasti Wu. Raja duta yang pertama tiba antara 225-230 M. Yang kedua pada 243 M. Sumber kemudian seperti dalam Liang Shu karangan Yao Cha (533-606) dan Yao Silian (637) membincangkan mengenai rombongan balas dari kerajaan dinasti Wu ke kerajaan Funan dengan perwakilan Kang Tai dan Zhu Ying.
Penulisan mengenai rombongan kedutaan ini walaupun ringkas berbanding dengan kejadian sebenar, merupakan antara yang tersimpan dalam rekod sejarah dinasti-dinasti China terkemudian. Hal inilah yang membentuk pengetahuan kita mengenai kerajaan Hindu, Funan.
Sejak penerbitan rencana Pelliot, carigali arkeologi pun dimulakan di dua negara moden iaitu negara Kemboja dan negara Vietnam. Yang terutamanya di tapak kebudayaan Oc Eo, didukung dan ditambah oleh rumusan Pelliot dalam rencana ilmiahnya.
Prasasti tempatan ditemui di Vietnam dan Kemboja terutamanya prasasti Thap Muoi di Dataran Lalang dan di My Son dekat Da Nang.
Sejarah
Terbitnya Kerajaan Funan
Menurut kepada sarjana moden yang cuma mendapat maklumat sejarah dari kesusasteraan Cina, seorang asing dikenali sebagai Huntian mengasaskan kerajaan Funan sekitar abad pertama masehi di Delta Mekong di Selatan Vietnam.
Kesaksian carigali purba menunjukkan bahawa terdapat pendudukan manusia sepanjang rantau itu dan ia sudah wujud sejak abad ke-4 SM. Walaupun dianggap oleh sejarawan Cina sebagai satu empayar bersatu, namun ramai sarjana moden berpendapat bahawa kerajaan Funan mungkin sebuah kerajaan yang mempunyai banyak negara kota dengan raja-raja pelindung kota yang ada masanya bersatu dan ada masanya berperang.
Jenis puak dan terbitan bahasa mereka ini masih diperdebatkan oleh para sarjana. Tak ada sebarang "rumusan kukuh" pun diperbuat dengan berdasarkan bukti sejarah yang ada. Penduduk Funan boleh jadi dari puak Champa atau puak yang berbahasa Austronesia (Orang Laut) yang lain. Boleh jadi juga, penduduk Funan berbahasa Khmer Lama, ataupun berbahasa dengan bahasa rumpunan bahasa kelompok Austroasia (Orang Bukit). Kemungkinan juga penduduk kerajaan ini merupakan nenek moyang orang asli yang tinggal di selatan Vietnam yang dikenali sebagai Khmer Krom.
Mungkin juga kerajaan Funan ini merupakan masyarakat pelbagai bangsa, dengan pelbagai puak dan pelbagai bahasa dituturkan di dalamnya. Penulisan orang tempatan Funan pun cuma ditemui pada prasasti Pallava Grantha dalam bahasa Sanskrit. Bahasa ini digunakan oleh kelompok pemerintah dan kelompok orang terpelajar di Asia Tenggara dan juga di Asia Selatan.
Prasasti tersebut langsung tiada maklumat mengenai bangsa penduduk atau bahasa tempatan selain bahasa Sanskrit adalah bahasa kedua pemerintah.
Lagenda Huntian
Rekod dinasti Liang mencatatkan ceritera permulaan kerajaan Funan. Dikatakan raja negara itu, seorang asing dikenali sebagai Huntian. Baginda datang dari negara selatan, iaitu negara Jiao. Tidak diketahui kedudukan negara itu, tapi besar kemungkinannya merujuk kepada negara purba di Semenanjung Tanah Melayu. Baginda Huntian itu bermimpi bahawa "penunggu" menghantar anak panah sakti dan menyuruhnya belayar dengan berangai perdagangan.
Suatu pagi, baginda terus ke kuil atau candi. Di situ baginda ternampak busur di kaki pokok tempat penunggu itu tinggal. Baginda kemudian menaiki berangai atau kapal. Berangai tersebut diarahkan oleh penunggu itu untuk menghala ke tanah yang akan menjadi kerajaan Funan. Tanah tersebut diperintah oleh seorang wanita suku kaum asli, iaitu puteri Liu Ye. Wanita tersebut mahu mengkaramkan berangai tersebut dan cuba menahannya. Huntian memanah anak panah sakti tersebut lalu ia memecahkan berangai tuan puteri itu. Tuan puteri berasa takut, lalu menyerahkan dirinya. Huntian mengambilnya menjadi isteri. Tapi baginda tidak suka melihat isterinya itu bertelanjang bogel. Lalu, dilipatnya sehelai kain menjadi pakaian bagi isterinya lalu diserlumkan di kepala isterinya.
Baginda memerintah negara tersebut dan mewariskannya kepada anakanda baginda. Anakanda baginda membuka tujuh buah negara-kota. Ceritera yang sama juga muncul dalam rekod dinasti Jin karangan Fang Xuanling pada 648 M. Tapi nama penakluk asing itu disebut Hunhoei dan isteri baginda Ye Liu.
Kaundinya
Setengah sarjana mengenalpasti nama Huntian dalam rekod dinasti Liang itu sebagai seorang Brahmin dengan gotra Kaundinya. Baginda berkahwin dengan puteri suku Naga bernama Soma seperti yang tercatit dalam prasasti My Son yang dipasak pada tahun 658 M.
Sarjana lain pula menolak pengenalpastian ini. Mereka menghujahkan bahawa Huntian itu cuma dua suku kata. Sedangkan Kaundinya itu tiga suku kata. Sarjana Cina tak mungkin menulis dua suku kata bagi mewakili bunyi bahasa asing yang tiga suku kata.
Walau bagaimanapun, nama Kaundinya ini memang muncul dalam sumber-sumber bebas dan nampaknya berkepentingan juga dalam perkembangan negara Funan.
Kaundiñya dalam Sastera Cina
Walaupun dalam bahasa Cina, nama Huntian ini bukanlah transkripsi bahasa Sanskrit, Kaundiñya. Namun, nama Kaundinya ini penting dalam perkembangan sejarah negara purba ini. Dalam penulisan sejarawan Cina lagi, ada nama ditulis sebagai Qiaochenru. Nama orang ini disebut dalam rekod dinasti Liang dalam cetera yang hampir sama dengan cetera Huntian.
Menurut sumber ini, Qiaochenru ini merupakan salah seorang pewaris singgahsana maharaja Tianzhu Chantan (Chandana dari benua India), salah seorang pemerintah Funan dari tahun 357 M. Baginda pernah menghantar gajah jinak kepada maharaja China, maharaja Mu dari dinasti Jin (nama kelahiran baginda, Sima Dan; 344-361 M).
Tertulis: "Baginda (Qiaochenru) itu seorang Brahmin Hindu. Terdapatlah suara menyerunya: 'Pergilah engkau ke Funan', dan baginda suka hati mendengarnya. Di selatan, baginda menjejak di negara-kota Panpan. Penduduk Funan muncul di hadapannya. Seluruh negara bergembira suka hati ingin mengikutnya, memilihnya menjadi raja atas mereka. Baginda menukarkan semua adat orang asli sehingga sesuai dengan adat istiadat Hindu".
Kaundiñya dalam Prasasti My Son
Cetera Kaundiñya ini ada disebut secara ringkas dalam bahasa Sanskrit pada C. 96 mengenai raja Champa, baginda Prakasadharma di My Son. Dicatatkan, pada Adityavara, 18 Februari 658 (sebelum kemunculan Funan), dan negeri-negeri di bahagian berkaitan (seloka 16-18). "Di situ (Bhavapura), Kaundiñya, yang terutama dalam kalangan orang Brahmin, mencacak lembing dari anakanda sang Drona, Śrī Aśvatthaman, Brahmin yang terbaik. Di situ, puteri sang Naga, disebut Soma bertemu keluarga di dunia. Mencapai menerusi cinta, unsur ketara, baginda berdiam dalam alam manusia. Diperisterikannya oleh baginda Brahmin Kaundiñya demi mencapai tujuan tertentu itu...."
Kaundiñya dalam Penglipurlara Khmer
Lagenda Kaundiñya ini selari juga dengan penglipurlara orang Khmer di Kemboja. Tersebut oleh hikayat bahawa anak raja negara asing dikenali sebagai Preah Thong dan permaisuri baginda, Neang Neak.
Dalam versi yang ini, Preah Thong dikatakan tiba melalui lautan di sebuah pulau yang ditandai dengan pokok Teluk. Di pulau tersebut, baginda mendapati bahawa ia sudah didiami oleh kelompok naga (seperti dalam Mahabharata) lalu bertemu dengan Neang Neak. Baginda puteri Nang Neak itu, anakanda kepada raja naga di situ. Mereka berkahwin di bawah air lalu direstui oleh raja naga.
Kemudian mereka kembali ke alam manusia. Raja naga menghirup air lautan di sekeliling pulau tersebut lalu diberi nama Kambujadhipati atau Kampucheathipadei. Ertinya Adhipati Kemboja. Dalam versi ceritera lain, disebut juga bahawa baginda Preah Thong itu berperang dulu dengan Neang Neak.
Sebutan Lain "Kaundiñya" dalam Sejarah Funan
Nama Kaundiñya ini terkenal dalam prasasti Tamil purba pada abad pertama masihi. Nampaknya, kerajaan Hindu purba ini diperintah sehingga abad ke-6 M oleh satu puak dengan nama keluarga yang sama.
Menurut pustaka wangsa Nan Qi Selatan tulisan Xiao Zixian (485-537), raja Funan iaitu baginda Qiaochenru Sheyabamo (Kaundiñya Jayavarman) "menghantar beberapa pendita Buddha pada tahun 484 M, Yang Dipertua Naqiexian (Nagasena) bagi mempersembah hadiah kepada maharaja China dan memohon baginda membantu mereka menakluki Linyi (Utara Champa). Baginda maharaja China berterima kasih kepada Jayavarman namun langsung tak menghantar sebarang tentera untuk menakluki Linyi".
Kegemilangan dan Kejatuhan
Kerajaan Hindu ini mencapai kegemilangan bawah maharaja Fanshih Man pada abad ke-3 M. Baginda memperluas tentera laut baginda dan memperelokkan lagi birokrasi kerajaan Funan. Baginda turut mencetuskan bentuk pemerintahan seperti feudal yang memberikan jatidiri kepada adat resam tempatan. Fanshih Man dan pewarisnya juga menghantar raja duta ke China dan ke India bagi melancarkan perdagangan.
Proses penghinduan berlaku dengan pantasnya. Kemudian, kerajaan berdekatan yang lain seperti kerajaan Chenla pun meniru sistem pemerintahan istana Funan. Kerajaan Funan mempunyai sistem perdagangan dan sistem monopoli kewangan yang kukuh. Keadaan ini menjadi ciri penting kepada empayar ini.
Pada abad ke-6 M, kerajaan Funan ditakluki dan diserap oleh puak Khmer dari kerajaan Chenla. Prasasti berbahasa Khmer di selatan Kemboja boleh juga menggambarkan bahawa sejak awal lagi memang sudah ada hamba rakyat berbangsa Khmer di situ.
Walaupun tak ada bukti kukuh tentang ciri-ciri kepuakan dalam kerajaan Funan. Namun, sarjana moden seperti Michael Vickery menyatakan bahawa "dengan bukti yang ada sekarang, sukar hendak mengatakan bahawa Funan sebagai satu kawasan yang penduduk atau hamba rakyatnya itu kebanyakannya bukan orang Khmer". Maksudnya itu, penduduk majoriti di negara Funan itu adalah puak Khmer.