Saturday, January 10, 2015

Tantra dalam Kebudayaan Khmer


"Tantra merupakan badan kepercayaan orang Asia dan amalan yang selaras dengan prinsip semesta yang kita rasakan. Tidak lain dan tidak bukan, jelmaan konkrit bagi kuasa kedewataan dari dewa yang mencipta dan mengekalkan jagat raya, mencari saluran sesuai bagi menyalurkan kuasa tersebut dalam dunia halus manusia, dengan cara yang bebas dan kreatif." - David Gordon White

Hindu Tantri memang sudah wujud dan memperlihat pengaruh jelas di benua India sejak pertengahan abad pertama masihi lagi apabila teks suci tantra mula disusun. "Ajaran tantra dengan terangnya menjelaskan bahawa sastera agama ini perlu untuk melengkapi ajaran lisan yang dititihkan dari mulut ke mulut oleh guru ke anak shiksha nya."

Kebanyakan sasteranya mengandungi gambaran mengenai dewata dalam rupa yang menunjukkan cara bertapa dan mitologi yang rumit. Hal ini menjadi contoh bagi para karyawan untuk berkarya dengan menurut bayangan yang diberikan oleh sastera tersebut. Tantrasara yang disusun dalam bahasa Bengali oleh Krishnananda Agamavagisa menjadi sumber utama bagi maklumat tentang ajaran Hindu Tantri hari ini.

Amalan Tantri mendedahkan jalan yang lebih pantas bagi mencapai pencrahan. "Seseorang itu mesti meningkatkan seluruh tenaga yang boleh ditemui di tubuhnya, perasaannya, dan mindanya. Semua ini digabungkan menjadi satu kenderaan yang akan membawa mereka ke arah pencerahan. Pencerahan akan berlaku apabila seseorang itu mendapat tahu tentang kebenaran kejadian mata benda dan manusia, dan erti mereka sejelas berada di atas sebatang jalan."

Falsafah Tantra bukan sahaja abstrak. Ia menerangkan dahulu mengenai falsafah dalam bentuk manusia dengan perlambangan ghairah yang akan menyebabkan mereka dapat terus merasai pengalaman manusia. Tumpuan ajaran Hindu Tantri adalah penekanan awal kepada penyatuan kelamin antara lelaki dan wanita yang mewakili penyatuan makhluk bumi dengan dewata, sejenis khayalan semesta. Tantrika biasanya akan menggunakan pelbagai cara untuk mencapai tujuannya ini termasuklah dengan cara seni yoga, sudut lebih yang melibatkan hubungan kelamin, tetapi sebagaimana yang disebutkan oleh Pal: "ia merupakan satu pemutarbelitan kebenaran untuk kita berkeras menyatakan bahawa hubungan kelamin menjadi latarbelakang bagi amalan semua tantrika.

Dalam persekitaran Khemir, wujudnya pengurangan dalam seni hubungan kelamin sama ada seorang pengamal Tantra itu seorang pengikut ajaran Buddha atau seorang Hindu. Khayalan hubungan kelamin jarang lah muncul dalam dunia orang Khemir. Ayat-ayat berlagu yang mengelus dengan kata-kata manis kepada gadis-gadis dalam kavi ghairah dalam sesetengah sastera Tantri dari benua India tak akan ada pembacanya di Tanah Kemboja.

Jarang sekali ditemui sumber bertulis bagi amalan Hindu Tantri Khmer walaupun wujud pengamalan Tantra di Kemboja sejak abad pertengahan lagi. Malang juga, tak ada sastera keagamaan Khmer berkaitan dengan Tantra yang masih wujud untuk memberikan kita gambaran mengenai peranan yang dimainkan oleh ajaran Hindu Tantri Khmer dalam dunia Khmer. Walau bagaimanapun ada juga petunjuk yang memberikan hasil yang menakjubkan mengenai Tantra di Tanah Kemboja.

Upacara Pertabalan Diraja

Upacara pertabalan diraja Khemir menunjukkan bahawa banyak juga terbitan upacaranya datang dari teks sastera Tantra. Pengenalan bagi teks-teks ini membolehkan Robert Brown menyodorkan buah fikiran barunya tentang peranan Hindu Tantri dalam masyarakat Khemir. "Para sarjana umumnya berpandangan bahawa teks Tantra aliran Saiva digunakan dalam perasmian kultus peribadi raja atau dewaraja."

Dalam upacara keagamaan raja Jayawarman II di Bukit Mahendra (Kulen) tahun 802 M, batu bersurat Sedok Kak Thom dari tahun 1052 melaporkan bahawa upacara keagamaan dijalankan bagi meletakkan linga diraja dan mengisytiharkan bahawa Jayawarman II sebagai Chakravartin (maharaja) di upacara itu. Hal ini menandakan permulaan zaman klasik Kemboja iaitu era Angkor. Empat sastera Tantri ada disebut dengan upacara pertabalan tahun 802 M itu, namun isi kandungannya masih tidak diketahui.

Penemuan baru oleh Teun Goudriaan berkenaan dengan sastera kunci bagi sastera Tantra yang digunakan pada tahun 802 M itu membawa pula bukti munasabah melibatkan peranan utama yang dimainkan oleh ajaran Hindu Tantra dalam upacara pertabalan diraja Khemir. Selain itu, sarjana mendapat kepahaman baru berkenaan dengan upacara keagamaan dalam yang melingkari upacara itu. Pengisytiharan seseorang pemerintah sebagai Chakravartin sekaligus akan meletakkan orang itu di pertengahan kerajaannya dan membentuk mandala dari tengah. Konsep ini dikesan kembali memang wujud pada zaman Veda di benua India.

Zhou Daquan yang melawat Tanah Kemboja pada abad ke-13 M menceritakan mengenai kisah lagenda raja Kemboja yang dipasangkan dengan nagi (puteri ular) bagi membawa kemakmuran kepada desa itu. Hal ini dianggap oleh sebahagian sarjana sebagai cerminan kepada upacara pertabalan Tantra menerusi upacara sandingan.

Dalam lain katanya, orang Khemir nampaknya menggabungkan konsep Tantra dengan kepercayaan sebelum kedatangan orang Hindu ke desa mereka lalu menghasilkan upacara yang bermakna dalam konteks orang Khemir itu sendiri kerana nagi sebenarnya ciri penting di desa Khemir. Lagenda naga dan nagi juga ada di benua India sana disebut dalam Mahabharata sejak sebelum masehi.

Yasovarman I yang membina tasik Yasodharatajaka mengesahkan yashanya (kemuliaan) sampai ke dunia bawah didiami oleh naga dan hidupan air lain melalui pembinaan tasik itu. Ini mungkin juga cerminan awal tentang konsep Tantra bagi dewaraja yang akhirnya menjalankan upacara seperti yang dicatatkan oleh Zhou Daquan dalam laporan abad ke-13 M itu.

Kewujudan belakang tembok Teres Gajah di Angkor menggambarkan hidupan dunia bawah, antaranya naga yang memberikan kesahihan kepada mitos tersebut. Robert Brown juga menunjukkan bahawa ukiran timbul di Angkor Wat memberikan bentuk pandangan kepada ongkar yang dibuat olehh Suryawarman II.

Dalam pandangan yang mungkin bagi ciri upacara Tantra tahun 802 M, mungkin sekali yang sumpah setia Suryawarman I tahun 1011 dan Suryawarman II mencerminkan kesinambungan yang sudah lama ada dalam tradisi Khemir melalui upacara pertabalan Hindu Tantri yang tidak begitu diketahui ramai hari ini. Oleh sebab amalan Tantra merupakan amalan rahsia, maka tidak mustahil juga rujukan mengenai amalan dan upacaranya juga tidak ditemui pada batu bersurat. Menarik sekali untuk disedari bahawa satu tokoh orang alim di ukiran timbul Angkor Wat yang dikenalpasti sebagai acharya ada memegang loceng berpemegang vajra di tangannya. Ia merupakan penekanan dari segi seni yang dapat dikaitkan lagi dengan upacara Tantra.

Kesenian Hindu Tantri Khemir


No. 1 Mandala


No. 2 Chandramandala

Imej-imej Hindu Tantri yang dipaparkan dikenalpasti sebagai antara hiasan yang ada di Angkor Wat. Ia juga wujud di candi dengan gaya Bayon tetapi sedikit sekali hasil tulisan mengenai ukiran Hindu Tantri Khmer. Dua mandala yang termasuk dalam gulungan ini, merupakan antara contoh yang jarang-jarang ditemui. Nampaknya mandala-mandala tersebut lebih kepada Hindu berbanding Buddha (no.1 dan no.2).

Yang terawal adalah contoh bertarikh 928-944 dari era Koh Ker. Ia menggambarkan Surya sedang berdiri memegang kelopak bunga teratai. Surya berdiri dalam satu bulatan dengan lapan makhluk rendah yang mewakili sembilan dewa. Ia merupakan dewa Khmer yang tempatan, mungkin masuk sekali dalam ajaran Hindu-Buddha abad ke-7 sampai abad ke-13 M (gambar no. 1).


No. 3 Siva Tandava

Pengenalan bagi rupa mandala sembilan dewa itu disahkan oleh kehadiran Rahu yang duduk di tubir awannya (no. 1b). Walaupun mungkin dewa-dewa pada ukiran itu dipengaruhi kumpulan dewa orang India iaitu Navagraha, tetapi ukiran orang Khmer ini nampak sedikit berbeza. Ia juga melibatkan sekali dewa planet yang dikenali sebagai dikpala (dewa jaga arah) dikaitkan dengan tujuh hari dalam seminggu ditambah dengan Rahu (dewa gerhana) dan Ketu (dewa tahi bintang). 

Mandala lain dalam gaya Angkor Wat sekitar akhir abad ke-11 sampai awal abad ke-12 M ada memaparkan imej Chandra (dewa bulan). Ia memegang kelopak bunga teratai sebagai tumpuan utamanya (gambar no. 2). 

Rujukan: Emma C. Bunker, Jabatan Asia, Muzium Seni Denver
Penterjemah: Northern Gate Group

No comments:

Post a Comment